24 February 2009

PENAT

Assalamualaikum...

Penat pasti ada letih. Penat terasa perlu berehat. Tenangkan diri agar tidak terkeluar dari luar kawalan kemanusiaan. Mungkin menghirup udara segar agar kekuatan diri terbina semula. Berselorah bersama teman juga boleh agar perkara duka menjadi tauladan dan sempadan.

Kepenatan memang tidak dapat dipisahkan dari perjuangan. Perjuangan yang benar dan suci itu memberi kita kembali kepada kekuatan. Buktinya apabila kita melihat mereka yang berjuang, kepenatan tidak terpancar di raut wajah mereka. Padahal kita juga berjuang. Apa rahsianya?.

"Aduhai celakanya diriku!!... Aku berjuang, tapi aku hilang kekuatan. Islamkah mereka perjuangkan atau nasionaliskah yang mereka perjuangkan".


"Thabbit kulubana ala dinik"

23 February 2009

CINTA DAN CINTA


Assalamualaikum...

Cinta adalah suatu cerita yang seronok. Tabiat manusia memang suka dengan cinta. Apabila cinta dipenuhi, alam terasa milik diri dan apabila cinta didustai, alam terasa sempit bagai penjara memenuhi hati.

Cinta memang seronok apabila pasangan saling memahami. Dia bunga kitalah kumbang, dia irama kitalah lagu. Dalam bercinta, suatu ikatan kepercayaan mestilah dituntuti. Hati masing -masing telah dipertalikan tetapi perlu lihat tali apa yang digunakan. Tali kepercayaan atau tali keterpaksaan. Sifat manusia itu sendiri sudah tahu bahawa cinta itu perlu pada tali kepercayaan, mengapa cinta tidak dimiliki lagi?.

Justeru, untuk mendapat cinta yang hebat adalah dengan kembali kepada asas kepercayaan itu sendiri. Kepercayaan bukan datang dari kepercayaan tetapi datang dari faktor kepercayaan. Amanah, adil, bertoleransi, saling memberi dan menerima serta ikhlas. Bagaimanakah ingin bercinta jika asas cinta itu tidak diketahui?. Cinta PAS kerana pembawakan agama cinta UMNO apa pula?.

"Thabbit kulubana ala dinik"

22 February 2009

BERUBAH

Assalamualaikum...

Mengapa takut untuk berubah?. Kita acap kali mendengar, perubahan menjurus kepada dua makna sama ada berubah menjadi baik atau berubah menjadi buruk..

Manusia memang selalu dalam situasi begini. Perubahan yang ingin dilakukan bersifat ketakutan. Jika diperhatikan, punca ketakutan ini tidak lain dan tidak bukan adalah kabur terhadap apa yang perlu berubah dan bagaimana cara untuk mengubah. Mana tidaknya, perkara yang kabur seolah-oleh kita berada di alam fantasi sedangkan perkara yang jelas kita berada di alam realiti. Realiti mengatasi fantasi. Menggunakan pena melawan musuh di majalah mengatasi menggunkan bom melawan musuh di alam mimpi.

Kita ambil contoh sekiranya PAS bermasalah maka sudah jelas pendekatan kepada dua sumber wahyu perlu dikukuhkan lagi. Apa yang kita maklum, PAS adalah parti yang meletakkan dua sumber tersebut sebagai asas perjuangan. Dua asas itulah sebagai cara mengatasi masalah. Sedangkan apabila kita melihat UMNO mereka ada asas tetapi asas mereka kabur. Mereka tidak menggunakan asas yang disaran oleh pencipta, bagaimana mereka ingin mengatasi masalah dalam suasana yang tidak ditakuti. PAS kecundang melawan musuh di dunia, di alam kekal abadi ada jaminannya sedangkan mereka....

"Thabbit kulubana ala dinik"

BAHASA KITA

Assalamualaikum...

Apa yang diperlakukan oleh kita sedikit sebanyak ada perkaitan dengan bahasa yang digunakan. Berkata orang pu**, ba**, si**, fu**, maka lama kelamaan sifat yang diperkatakan itu tercalit pada diri sendiri. Mana tidaknya, sedangkan orang yang berkawan dengan penjual minyak wangi tercalit wangiannya, ini pula bahasa yang memang datang dari diri sendiri.

Kita sebagai manusia dikurniakan untuk memilih perlakuan yang akan dilakukan sama ada bersifat baik atau sebaliknya. Apabila memilih baik maka hal tersebut akan menjadi baik dan apabila memilih buruk maka hal tersebut akan menjadi jijik dan tidak beretika. Tetapi perlu ingat, segala perkara buruk yang mendatang atas tiap usaha yang baik itu bukan hujah bahawa kita tersesat, tetapi ada kabaran di sebalik yang terjadi itu.

Bertanyalah pada siapa sahaja di muka bumi ini, individu manakah yang selesa dan aman untuk berteman rakan yang ada pada sifat ego tidak mahu mengubah gaya hidupnya keada yang lebih baik.


"Thabbit kulubana ala dinik"

20 February 2009

MANUSIA DAN AKAL

Assalamualaikum...

Manusia telah diberi nikmat akal dan tidak sepatutnya menyalah gunakannya. Apabila diberi kelebihan berfikir sudah merasa diri hebat dan kuat. "Aku keluaran luar negara, fikiranku lebih baik dari semua". Ini kufur nikmat namanya...

Heran, manusia mampu berfikir dirinya sudah lemah, masih lagi mampu berlagak pada kebenaran. Sudahlah Allah menciptakan dia, dia pula mencari murka Allah. Allah telah bersabda di dalam surah al-Fatihah: Hanya engkau layak disembah dan hanya engkau layak dipinta. Lihat, itulah akibat ada sikap terlampau percaya bahawa akal, maka tidak mahu mebelek wahyu Allah.

Mari kita fikirkan, sekiranya tiada wahyu, akal manusia sudah tidak tahu erti keadilan. Kelompok Komunis kata dialah yang adil, kelompok Barat kata dia yang adil, kelompok kebangsaan kata dialah yang adil. Jadi, mana satu kelompok yang seadil-adilnya kalau bukan akal dapat tahu berteraskan wahyu Ilahi?.

"thabbit kulubana ala dinik"

08 February 2009

Perutusan MB Perak

BismilahirRahmanirRahim.

Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT atas kesihatan tubuh badan dan kesabaran yang dianugerahkanNya kepada saya dan seluruh rakyat negeri Perak Darul Ridzuan.

Saya mengambil kesempatan ini untuk menerangkan beberapa perkara berkaitan perkembangan krisis di negeri Perak terutamanya selepas upacara angkat sumpah Menteri Besar baru negeri ini yang berlangsung di Istana Iskandariah petang tadi.

Dengan penuh rasa tanggungjawab, sukacita saya menyatakan bahawa perlantikan Menteri Besar baru itu sesungguhnya adalah tidak mengikut Undang-Undang Perlembagaan Negeri sebagaimana sepatutnya.

Apabila saya tidak meletak jawatan seperti yang dititahkan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak, sebenarnya saya telah pun meneliti semua undang-undang dan peraturan yang berkaitan serta telah mendapatkan pandangan dan nasihat daripada ahli dan pakar undang-undang.

Permohonan saya kepada DYMM Sultan untuk mendapatkan perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri adalah menepati dan mengikut peruntukan Undang-Undang Perlembagaan Negeri
secara jelas dan pasti. Perlembagaan memperuntukkan dengan jelas bahawa pembubaran DUN sepatutnya telah pun berlaku setelah permohonan perkenan saya kemukakan kepada DYMM Tuanku Sultan.

Saya juga yakin bahawa pembubaran DUN adalah langkah terbaik bagi menyelesaikan kemelut politik negeri Perak. Biarlah rakyat membuat keputusan. Saya percaya bahawa rakyat berhak membuat keputusan berkenaan parti manakah yang rakyat mahu berikan mandat sebagai kerajaan. Keputusan menyerahkan penentuan itu kepada rakyat adalah bertepatan dengan prinsip demokrasi dan sistem Raja berperlembagaan yang dijunjung bersama.

UMNO telah mencemarkan Institusi Raja melalui konspirasi yang sangat kotor semata-mata kerana dendam kesumat dan nafsu melampau untuk memerintah. Mereka sanggup mengheret Institusi Raja kepada kecelaruan yang boleh menjejaskan penghormatan dan sanjungan rakyat terhadap istana.

Tiga Kaedah ‘Lucut Jawatan’ Menteri Besar

Berhubung kecelaruan isu ‘letak jawatan’ atau ‘lucut jawatan’ saya sebagai Menteri Besar, suka saya jelaskan kepada seluruh rakyat negeri Perak bahawa Perkara 16(6) Undang-Undang Perlembagaan Negeri dengan terang menyatakan bahawa ‘lucut jawatan’ saya hanya boleh berlaku melalui 3 kaedah iaitu :

Pertama – pembubaran Dewan Undangan Negeri.

Kedua – undi tidak percaya dalam sidang khas Dewan Undangan Negeri.

Ketiga – saya meletak jawatan secara sukarela.

Tetapi apa yang terjadi sekarang, tiada mana-mana satu pun di antara 3 kaedah itu berlaku. Saya tidak meletak jawatan. Pembubaran DUN tidak berlaku. Belum lagi berlangsung sidang khas atau apa-apa sidang membincangkan usul undi tidak percaya terhadap saya. Maka bagaimana boleh dikatakan saya bukan lagi Menteri Besar Perak?

Apabila saya masih lagi Menteri Besar Perak yang sah mengikut undang-undang, maka adalah ganjil apabila dilantik seorang Menteri Besar yang baru. Bukan saja ganjil, tapi salah. Perlantikan Menteri Besar hanya boleh atau perlu dibuat apabila berlaku kekosongan jawatan itu. Sehingga saat ini saya masih MB mengikut perlembagaan. Belum berlaku kekosongan. Saya MB yang sah manakala Dato’ Dr. Zambry adalah MB tidak sah atau MB haram.

Fitnah Media Kawalan UMNO – Saya Nak Saman Sultan, Saya Arahkan Rakyat Memberontak dan Saya Menjerit Di Pejabat

Hari ini timbul isu bahawa saya akan saman DYMM Tuanku Sultan. TV1 dan TV2 serta semua saluran TV milik Media Prima menyiarkan berita itu. Ini adalah satu fitnah yang sangat dahsyat. Tohmahan jahat ini dicipta oleh UMNO untuk menimbulkan kebencian orang ramai khususnya rakyat negeri Perak terhadap saya dan Pakatan Rakyat. Mereka mengulas isu ini secara terarah untuk menjauhkan kita dari istana. Mereka mencipta tuduhan ini untuk membangkitkan kemarahan orang Melayu terhadap saya dan Pakatan Rakyat dengan tujuan menenggelamkan perbincangan tentang pencabulan undang-undang yang mereka lakukan demi merampas kuasa.

Saya juga dituduh menggerak dan mengarahkan rakyat supaya bangkit menentang istana. Media yang dikuasai UMNO menggambarkan saya bertanggungjawab ke atas perhimpunan rakyat yang berlaku di merata tempat dalam masa beberapa hari ini termasuk himpunan di Kuala Kangsar yang tercetus kekecohan.

Sehubungan dengan itu, saya dengan ini menafikan sekeras-kerasnya segala tuduhan dan fitnah yang dilemparkan terhadap saya. Saya tidak mengeluarkan apa-apa arahan kepada rakyat untuk maksud berhimpun menyatakan bantahan kepada istana. Semua ini adalah propaganda UMNO.

Media elektronik yang dipengaruhi UMNO juga memutarbelit laporan mengenai insiden di pejabat saya iaitu pejabat Menteri Besar pagi tadi. Mereka melaporkan bahawa saya ‘menjerit’ ketika kekecohan semasa kehadiran puluhan wartawan.

Sebenarnya yang menjerit itu bukan saya. Yang menjerit ialah Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri iaitu Dato’ Dr. Abdul Rahman Hashim yang menghalau wartawan supaya keluar dari bilik itu. Wartawan dalam dan luar negeri menjadi saksi tindakan primitif Setiausaha Kerajaan Negeri yang menghalau petugas media di hadapan saya.

Saya tegaskan sekali lagi bahawa bukan saya yang menjerit seperti dilaporkan oleh media elektronik pengampu UMNO. Saya nafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu. Anda boleh saksikan sendiri video yang sempat dirakamkan oleh salah seorang wartawan ketika insiden itu. Dato’ Dr. Abdul Rahman Hashim yang menjerit.

Sukacita saya menyatakan sekali lagi bahawa saya menyanjung tinggi Institusi Istana sepanjang sepuluh bulan lebih saya memikul amanah ini dan saya telah memberikan kepatuhan saya kepada DYMM Tuanku Sultan dengan sepenuh jiwa dan raga. Dalam perkara yang sedang berlaku ini, saya sebenarnya bermaksud membela dan mempertahankan Institusi Diraja bahkan Institusi Kesultanan Melayu seluruhnya supaya tidak dipandang memihak kepada mana-mana kumpulan dalam isu ini. Saya tidak rela rakyat menganggap Istana menyebelahi mana-mana pihak. Saya ingin menyelamatkan istana daripada tohmahan rakyat. Saya ingin memelihara kepercayaan rakyat kepada institusi ini iaitu institusi yang luhur dan adil.

Pesanan Kepada Seluruh Rakyat Negeri Perak

Saya merayu kepada seluruh rakyat negeri Perak supaya janganlah bertindak diluar batasan. Apa yang kita lakukan adalah usaha menuntut keadilan serta menuntut diberikan hak kepada rakyat untuk membuat pilihan sepertimana yang dijamin oleh perlembagaan.

Terimakasih kepada semua rakyat negeri Perak atas sokongan, pandangan dan ucap selamat yang diberikan kepada saya. Saya sudahi dengan wabillahi taufiq wal hidayah wassalamu alaikum warahmatullah.

"Thabbit kulubana ala dinik"