11 May 2009

FALSAFAH


Assalamualaikum....

Penulis : Daud al-Hammassyi (kawan sebilik... sapa nak berkenalan boleh bisik dekat saya)

ulsan saya
1. Menerangkan makna falsafah dari sudut yang pelbagai.
2. Perkaitan antara Akidah dan ilmu falsafah.
3. Penggunaan akal dalam kehidupan.


---------------------------------------------------------------

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani...

Alhamdulilah,segala puji-pujian hanyalah bagi Allah tuhan semesta alam...


Membersihkan aqidah yang asing dari aqidah yang suci..

Tujuan ruangan falsafah ini dicipta bukanlah bertujuan untuk saya memperkenalkan kehebatan-kehebatan serta keunikkan-keunikkan pemikiran falsafah sepanjang meniti zaman,tetapi tidak lain dan tidak bukan hanyalah bertujuan semata-mata untuk mengajak para pembaca mengetahui serta meneliti pemikiran-pemikiran falsafah yang tersangat bahaya jika ianya terkesan ke dalam pemikiran kita di dalam menilai sesuatu maklumat untuk menuju ke arah pencarian sebuah kebenaran,lebih-lebih lagi perkara-perkara yang bersangkutan dengan aqidah dan kepercayaan ummat islam seperti yang dibawa oleh baginda nabi sallallahu alaihi wassalam.

Oleh itu anggaplah ruangan falsafah ini dibuat adalah untuk kita mempelajari pemikiran-pemikiran musuh kita yang semenjak dahulu lagi telah menceroboh masuk ke dalam agama suci ini lalu mencemari risalah yang dibawa oleh baginda nabi sallallahu alaihi wassalam.Perkara sedemikian berlaku adalah disebabkan oleh perbuatan insan-insan yang tidak bertanggungjawab terhadap agama mereka sendiri dan juga hasil campurtangan manusia kafir,zindiq serta munafiq yang berusaha untuk membawa masuk pemikiran-pemikiran pelik ini.

Sebagai peringatan juga,di dalam ruangan ini akan saya selang selikan dengan artikel-artikel berbentuk didikan penyucian hati selain artikel ilmu falsafah semata-mata,kerana ianya menjadi tanggungjawab kepada saya untuk memberikan penawar setelah memberikan racun kepada para pembaca di laman web yang diberkati Allah ini.


Apakah makna falsafah itu??

Ketahuilah bahawa perkataan falsafah itu merupakan suatu perkataan yang berasal daripada bahasa Yunani yang mana ia terdiri daripada dua suku kata : Filo dan Sofia.Dan perkataan Filo itu membawa maksud “orang yang menyintai,manakala Sofia itu membawa maksud “hikmah” atau “kebijaksanaan”.Maka jadilah maksud falsafah itu dari segi bahasa sebagai : “Orang yang menyintai kebijaksanaan”. (1)

Untuk mengetahui makna falsafah dari segi isthilahnya,adalah lebih baik jika saya pecahkan maknanya kepada pemahaman daripada tiga jenis golongan.Iaitu golongan para pemikir Falsafah Yunani,golongan Ahli Falsafah Islam dan golongan para Ulama’ Islam yang berjalan di atas landasan agama suci ini dengan jalan yang lurus tiada melencong.

Para pemikir Falsafah Yunani mengatakan bahawa ilmu falsafah itu merupakan ilmu yang merangkumi semua jenis cabangan ilmu.Iaitu suatu ilmu lengkap yang meliputi segenap perkara,ilmu yang mendalami terhadap tafsiran sesuatu maklumat dan juga ilmu pencarian sebab dan logik aqal terhadap segala kejadian yang berlaku dan mencari asal-usul sesuatu kejadian itu berlaku. (2)


Mari kita lihat pengertian para pemikir besar mereka dalam memberikan makna ilmu falsafah itu :

(1) Berkatanya guru besar mereka iaitu Aristotle bahawa falsafah itu ialah : “Suatu ilmu yang mencari sebab-sebab yang jauh ataupun ilmu yang mencari kewujudan sesuatu terhadap sesuatu yang wujud”(3) dari segi pengertian ini, ianya menjurus kepada ilmu Metafizik,iaitu ilmu yang mencari asal-usul sesuatu kejadian,dan Aristotle memanggil ilmu ini dengan Prime Philosophy,iaitu Falsafah Utama.

(2) Berkatanya Socrates pula : “Ilmu yang menyintai hikmah fitrah semulajadi” .(4) Jika dilihat makna ini,ia merupakan makna yang hampir sama dengan maknanya dari segi bahasa,cuma ianya ditambah dengan : “hikmah pada sesuatu yang tumbuh secara semulajadi”,hikmah disini bermaksud ilmu atau kajian.Dan makna ini juga tidak lari dari maksud Ilmu Metafizik.

Ketahuilah bahawa sesungguhnya makna hikmah di kalangan pemikir Yunani terpecah kepada dua makna iaitu : Kajian dan Praktikal,tujuan utama Kajian ialah untuk menemui kebenaran dan tujuan utama Praktikal pula adalah untuk mencari kebaikkan.Manakala ilmu-ilmu yang terpecah di bawah Kajian ini ialah : Matematik, Metafizik dan Ketuhanan,manakala ilmu-ilmu di bawah pecahan Praktikal pula ialah : Politik dan Ilmu Akhlaq.

Jika dilihat ilmu-ilmu dari pecahan Kajian itu tadi,dapatlah kita lihat bahawa ketiga-tiga ilmu tersebut sememangnya membawa kepada mengetahui suatu kebenaran dan ilmu-ilmu dari Praktikal pula sememangnya menginginkan kebaikkan dan kebahagiaan kepada manusia sejagat.

Maka jelaslah di sini bahawa mereka menghimpunkan ilmu dan amal untuk mencapai makna hikmah,maka ilmu tanpa amal dan amal tanpa ilmu tidaklah boleh dianggap sebagai sesuatu yang bijak pada pandangan mereka.

(3) Berkatanya Plato pula : “Ilmu yang mencari haqiqat mutlaq sesuatu yang tersembunyi di sebalik perkara-perkara yang zahir”.



Dan makna falsafah dari golongan Falsafah Islam pula :

(1) Berkatanya Al-Farabi : “Suatu ilmu yang batasanya dan kajian-kajianya adalah pada mencari kewujudan terhadap segala yang wujud”.(5) Ermm..nampaknya makna ini juga tidak lari dari pengertian ‘guru’ mereka.

(2) Berkatanya Ibnu Sina : “Suatu ilmu yang dapat menyempurnakan jiwa insan untuk mendapatkan gambaran dan kepercayaan terhadap haqiqat-haqiqat Kajian dan Praktikal berdasarkan kemampuan tenaga manusia”.

Sesungguhnya pengertian falsafah dari kalangan para pemikir Falsafah Islam tidaklah lari langsung daripada pengertian falsafah dari para pemikir Yunani tadi,bahkan di dalam kebanyakkan karya-karya dan kitab-kitab mereka hanyalah berbentuk pengulangan kembali segala fikrah-fikrah Falsafah Yunani tetapi diselewengkan pula dengan usaha mereka yang mencampur adukkan fikrah-fikrah tersebut dengan celupan islam,maka bercampur baurlah antara kaca dan permata hasil tangan-tangan mereka tersebut.


Sekarang kita lihat pula makna falsafah dari kalangan Ulama’ Islam :

(1) Berkatanya Al-Jurjaniy : “Iaitu suatu ilmu yang ingin mengambil alih kuasa tuhan dengan kemampuan daya upaya qudrat manusia untuk mencari kebahagiaan yang kekal abadi”. (6)

(2) Berkata pula Imam Ibnu Qayyim rahimahullahu taala : “Dan maqsud ilmu falsafah itu ialah sejenis nama yang diberikan kepada sesiapa yang menyukai hikmah (falsafah) dan terkesan pula denganya,dan nama ilmu ini pula telah menjadi suatu adat kebiasaan orang ramai diberikan kepada orang-orang yang terkeluar daripada agama yang dibawa oleh para nabi Allah,dan pandangan-pandangan mereka hanyalah berdasarkan daripada sangkaan aqal-aqal mereka”. (7)

Pengertian yang diberikan oleh para ulama’ islam kebanyakkanya adalah berbentuk sindiran dan cercaan terhadap ilmu-ilmu falsafah,tetapi cercaan-cercaan tersebut adalah disebabkan ilmu-ilmu tersebut yang melangkaui batasan mereka dengan cubaan untuk memasuki bidang aqidah dan kepercayaan islam,manakala dari segi kesesuaian ilmu tersebut mencari kebenaran terhadap ilmu-ilmu selain ilmu agama islam adalah diterima oleh sebahagian ulama’ dan ada juga ditolak oleh sebahagian mereka.Ini kerana agama islam sememangnya tidak memerlukan langsung campur tangan ilmu asing yang datang dari sumber selain dua sumber yang besar di dalam agama islam iaitu : AL-QURAN dan AS-SUNNAH.

Sesungguhnya pengertian falsafah tidaklah dapat diertikan dengan hanya selembar kertas,tetapi pengertianya berbeza-beza dan berbagai-bagai berdasarkan iktiqad dan pengkhususan ilmu masing-masing,tetapi apa yang pasti,ilmu ini adalah berdasarkan di atas kajian,pertanyaan-pertanyaan dan soalan-soalan,logika,usaha mencari kebenaran dan lain-lain lagi asalkan ianya berjalan di atas penggunaan aqal manusia.

Ketahuilah bahawa aqal manusia itu sangat-sangat terbatas di dalam menilai beberapa perkara yang di luar kemampunya untuk berfikir,dan sesungguhnya bukanlah semua perkara dan kejadian di atas dunia ini dapat ditanggapi dengan aqal manusia yang walaupun sihat, waras dan sempurna sekalipun,tetapi terkadang aqal manusia boleh tersilap di dalam menilai sesuatu....

Oleh itu ianya tidak dapat bahkan tidak layak dijadikan sumber terbesar di dalam perkara yang di luar kemampuanya,demi kerana kekuranganya tadi,tetapi serahkanlah sahaja tugasnya pada pencipta aqal itu sendiri iaitu Allah subhanahu wa taala dengan jalan risalah yang dibawa oleh para pesuruh pilihaNya dan para kekasihNya yang dikasihi.

"Thabbit kulubana ala dinik"


_____________________________
  1. Lihat : As-Syahrastani : Al-Milal Wan Nihal (juzuk 2,mukasurat 58),Ibnu Taimiyah : Minhaj Sunnah (juzuk 1 mukasurat 359),Ibnu Khaldun : Al-Muqaddimah (juzuk 2 mukasurat 681),Muhammad Luthfi Jum’ah : Tarikh Falasifah Islam : 248,Nadim Al-Jasar : Qissatul Iman : 111,Jamil Saliba : Al-Mu’jam Al-Falsafi : juzuk 2,mukasurat : 160.
  2. Lihat : Mawqifu Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah Min Arail Falasifah Wa Manhajihi Fi ‘Ardhiha oleh Doktor Soleh Gharmullah Al-Ghamidi/m.s : 60.Kitab ini merupakan bahan kajian Doktor Soleh untuk mendapatkan darjah Doktor Falsafah (Ph.D) dari Kuliah Usuluddin di Riyadh.
  3. Lihat : Husin Soleh Hammadah : Dirasat Fil Falsafah Al-Yunaniah/juzuk :1,m.s : 18.
  4. Dari kitab yang sama.
  5. Pengertian bernombor (3) dari Plato dan (1) dari Al-Farabi dan (2) dari Ibnu Sina adalah diambil daripada kitab yang sama seperti di nota kaki bernombor 3.
  6. Lihat : At-Ta’rifaat oleh Al-Jurjani mukasurat : 169.
  7. Lihat : Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah : Ighasatul Lihfan.

0 kritikan: